Gejala Buli

Gejala Buli : Punca dan Langkah Menangani

(T) Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’“Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan  retorik yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. (I) Malangnya, dalam proses menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah gejala buli. Buli dapat ditakrifkan sebagai perlakuan ganas yang mencederakan fizikal dan menjejaskan emosi dan mental seseorang seperti memukul, membuli, mengugut dan sebagainya. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, kes buli juvana telah meningkat sebanyak 11 kes pada tahun 2013 berbanding pada tahun 2012. Peningkatan ini menyukarkan usaha negara untuk mencapai impian menjadi negara kelas pertama. Pelbagai usaha diambil oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyifarkan kemelut sosial ini  tetapi usaha ini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kes tersebut masih meningkat sehingga hari ini. (A) Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, jadi sebelum mencari jalan penawar untuk menangani kemelut ini, kita haruslah mengenal pasti akar umbi yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang.

(I) Punca dominan yang mencetuskan fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh. (M) Kebanyakan remaja pada hari mempunyai stigma bahawa ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada alaf globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa pada hari ini tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Hal ini terjadi kerana ibu bapa pada alaf ini sering mempunyai tanggapan bahawa ajaran agama tidak penting berbanding dengan pendidikan akademik yang dianggap sebagai tiket kejayaan anak-anak pada masa hadapan. Sikap ini menunjukkan bahawa terdapat ibu bapa yang semakin alpa akan tanggungjawab hakiki mereka dalam membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak mereka yang diumpamakan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan tingkah laku anak–anak sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa hadapannya. (BA) Berlandaskan sikap remaja dan ibu bapa yang sebegini maka tidak hairanlah anak-anak tidak mementingkan amalan solat yang difardukan kepada setiap muslim walaupun solat itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran. Mereka beranggapan bahawa amalan ini membuang masa dan tidak membantu mereka untuk mencapai kejayaan duniawi. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja pada hari ini lebih bertuhankan hiburan dan keseronokan duniawi semata-mata seperti melibatkan diri dalam ‘Black Metal’. (K) Jika situasi ini berterusan sudah pasti keharmonian masyarakat dan negara kita akan terjejas. Memetik kata-kata seorang tokoh cendekiawan, “Petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut mencintai hiburan.” Keimanan remaja yang senipis kulit bawang menyebabkan kehidupan mereka terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda lantaran mereka tidak dapat membezakan dosa dan pahala lalu mereka akan bertindak untuk menyakiti dan mengasari individu lain demi kepentingan dan keseronokan diri sendiri. (P) Tegasnya, didikan agama yang tidak mantap mampu mendorong kepada penularan gejala buli di negara ini.

(I) Selain itu, kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala buli yang melanda di nusa tercinta kita ini. (M) Intitusi keluarga porak-peranda disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara pasangan suami isteri. Sekiranya tiada persefahaman antara mereka sudah pasti bibit-bibit kasih sayang yang dipupuk selama ini hilang sebagai akibat daripada sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan impak yang bakal mengganggui kehidupan anak-anak pada hari mendatang. (BA) Oleh itu, kes penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin meningkat bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyirunya lagi. Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia berlaku sekali dalam tempoh masa 15 minit. Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk memberikan kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa mereka. (K) Keadaan ini membimbangkan kerana akan menjejaskan perkembangan remaja dan pembentukan personaliti remaja. Maka tidak hairanlah apabila remaja sanggup terlibat dalam gejala samseng ini untuk menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit kasih sayang daripada ibu bapa mereka yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala negatif terdiri daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga(P) Izharlah bahawa kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena buli remaja yang ingin melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak kata peribahasa Melayu, ‘orang lain makan nangka, orang lain terkena getahnya’.

(I) Jika kita kaji dari dimensi yang lain, pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara faktor gejala buli semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging di negara kita pada hari ini. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa dan guru-guru mereka. Tindakan remaja yang sanggup menuruti kata-kata kawannya tanpa memikirkan risiko dapat diumpamakan seperti kerbau dicucuk hidung. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin dipulaukan atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan kata-kata mereka. Menurut Thrasher yang merupakan pelopor awal tentang kajian buli mengutarakan bahawa pada peringkat awal remaja, golongan ini berkemampuan untuk mewujudkan geng atau persatuan. Remaja yang masih berbau pucuk jerengau ini sanggup mengkhianati kepercayaan ibu bapa dan guru mereka daripada mengkhianati kumpulan mereka. (BA) Sebagai contohnya, 8 orang pelajar tingkatan 5 dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah mengugut guru asrama dengan menggunakan parang. Kumpulan pelajar ini sanggup bertindak demi melepaskan kemarahan dan berseronok-seronok tanpa memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang lain. (K) Ekoran sikap remaja yang tersalah memilih rakan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif seperti membuli . Hal ini dapat dikaitkan dengan petikan sebahagian daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika berkawan dengan tukang besi maka percikan api akan terkena pada tubuhmu.” (P) Pendek kata, pengaruh dan tekanan daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada kemelut buli semakin sukar ditangani.

(I) Dalam konteks yang sama, punca yang lain ialah pengaruh media yang berteknologi tinggi. (M) Pada alaf modenisasi dan globalisasi ini, pertambahan bilangan dan jenis media berteknologi tinggi seperti rangkaian televisyen dan internet semakin pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Penggunaan media berteknologi ini kebanyakannya dikuasai oleh golongan remaja yang masih mentah. Kajian melaporkan bahawa 80 peratus anak-anak melayari Internet. Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk mencapai status negara maju, rakyat sesebuah negara itu perlu memajukan diri dengan perkembangan semasa seiring dengan kehendak pasaran dunia. Malangnya, kemajuan yang dikecapi pada hari ini turut merosakkan pemikiran dan akhlak remaja di negara kita. (BA) Terdapat banyak media berteknologi tinggi yang mendedahkan pelbagai budaya luar dan aksi-aksi ganas yang mampu menjahanamkan peribadi dan sahsiah remaja yang masih berumur setahun jagung. Sebagai contoh, filem Buli, ‘Gengster’, KL Menjerit dan rancangan ‘WWF Smack Down’ telah membudayakan amalan samseng dalam kalangan remaja yang masih hijau. Penerbitan filem dan rancangan yang berunsurkan keganasan yang sememangnya bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia ini disebabkan oleh sikap penerbit yang bersikap materialistik dan ingin mengautkan keuntungan peribadi daripada mengutamakan kepentingan sejagat. Sikap manusia yang mementingkan diri sendiri ini dapat diumpamakan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing(K) Kesannya, remaja akan meniru dan mengikuti aksi-aksi yang ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka yang sentiasa didorongi oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang lain seperti memukul dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang ditontoni oleh mereka.  (P) Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa oleh media berteknologi tinggi juga menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini kepada ibu pertiwi kita.

(I) Dari perspektif yang berbeza pula, peraturan sekolah yang lemah turut menyebabkan masalah buli dalam kalangan remaja kian bermaharajalela dan merebak dengan pantas bagaikan virus epidermik. (M) Keadaan ini terjadi apabila terdapat sesetengah pihak sekolah pada hari ini lebih mementingkan pencapaian akademik dan lebih berorientasikan peperiksaan. Bagi mereka, pencapaian kecemerlangan pelajar dari aspek akademik menjadi kayu pengukur kepada prestasi kecemerlangan sekolah. Sekiranya hal ini terjadi sudah pasti pihak sekolah akan hilang fokus untuk menangani kes-kes pelajar sekolah dan tidak menganalisis kesalahan pelajar yang dilaporkan seperti kes buli yang kian hari kian bernanah di persekitaran sekolah. Pihak sekolah juga tidak mengenakan peraturan dan hukuman yang tegas kepada pelajar-pelajar yang melakukan keganasan pelajar lain dan sikap pihak sekolah ini dapat diumpamakan seperti singa yang hilang taringnya(BA) Sebagai misalannya, lebih kurang 20 orang pelajar di Sekolah Menengah St. David, Bukit Baru, Melaka bergaduh di kantin sekolah dan memukul sesama sendiri menggunakan kerusi. Kejadian ini membuktikan bahawa kumpulan pelajar ini memantang enteng dan tidak gerun dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. (K) Sehubungan dengan itu, impian Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang holistik akan terkubur sekiranya gejala gengsterisme semakin berleluasa dalam kalangan remaja yang rata-ratanya merupakan pelajar sekolah. Bukan itu sahaja, kepercayaan ibu bapa terhadap pihak sekolah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti turut akan terjejas. (P) Jadi, ketidaktegasan peraturan dan sikap pihak sekolah juga antara punca yang menyebabkan gejala buli dalam kalangan remaja semakin sukar diatasi.

(K) Secara analoginya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak punca yang menjadi pemangkin kepada penularan gejala buli dalam kalangan remaja di negara kita. Jika kemelut sosial yang melanda  remaja di negara kita ini tidak dapat dihapuskan, remaja yang merupakan jentera penggerak kemajuan negara  tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk memacu pembangunan negara. Dengan ini, segala aspirasi negara hanya sekadar omongan kosong semata-mata dan akan menjadi angan-angan Mat Jenin(CDGN) Jadi, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Juvana juga perlu dikaji dan diubah suai selaras dengan zaman globalisasi. Namun begitu, tindakan mengharapkan satu pihak untuk menyelesaikan masalah ini semata-mata tidak berkesan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan status haruslah mengorak langkah untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah ini sehingga noktah terakhir. (HRPN) Komitmen padu daripada semua pihak diharapkan impian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan. Secara implisitnya, negara kita dapat berdiri gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia. Imej negara juga akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Ahli filsuf Tao pernah menukilkan bahawa jika mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masa depan mutiara negara yang berharga ini terus terpelihara demi kebaikan bersama.

………………………………………………………………………………………

Langkah-langkah merealisasikan gejala buli sifar di sekolah

Pendahuluan:

Tema : Menurut Kamus Dewan edisi-4 buli didefinisikan sebagai perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru. Secara umumnya,buli turut di definisikan sebagi perbuatan negatif oleh seseorang yang lebih kuat kepada mereka yang lemah. Perbuatan ini dilakukan secara berulang kali keatas mangsa dengan tujuan memdatangkan perasaan tidak selesa,aman,tenteram dan harmoni.

Isu: Seperti yang sedia maklum ,masalah buli kini semakin hari semakin hangat diperkatakan dan telah menjadi suatu perkara yang membimbangkan di Malaysia. Sebagai contohnya,baru-baru ini telah berlaku kejadian buli di Maktab Tentera Darat. Kes buli ini telah menjadi isu besar yang mengakibatkan kematian pelajar lelaki tingkatan 4 dipercayai dibuli oleh senior-seniornya. Jadi, kes ini perlu diambil berat supaya tidak berleluasa.

Arahan: Sebelum kudis menjadi tokak, langkah-langkah yang pragmatik dan efektif perlu diambil segera untuk membendung fenomena ini daripada berleluasa.

Isi 1

I – memberikan didikan agama yang teguh kepada anak-anak sejak kecil lagi – melentur buluh biarlah dari rebungnya (U)

M – unsur yang paling penting dalam kehidupan seseorang kerana pendidikan agama membentuk seseorang manusia untuk sensitif kepada dosa dan pahala atau balasan baik dan balasan buruk di akhirat nanti

Ba – ibu bapa perlu memastikan anak-anak mengerjakan solat – solat itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran

K – Anak-anak tidak melakukan buli kerana ia memahami bahawa buli dan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada orang lain merupakan tindakan yang salah di sisi agama.

– Pendidikan agama merupakan perisai yang paling ampuh untuk menangkis gejala negatif seperti kes buli

Isi 2

I – Peranan media massa

M – merupakan wahana yang berkesan untuk mendidik manusia / berupaya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran manusia

Ba – Filem-filem yang mengandungi adegan ganas yang keterlaluan dan yang boleh mendidik remaja untuk meniru aksi buli hendaklah disekat daripada tontonan umum. Media juga perlu memaparkan filem, gambar, cerita dan rencana yang menonjolkan kesan-kesan buruk buli. Di samping itu media juag perlu sentiasa menayangkan iklan-iklan larangan membuli buli seperti larangan merokok.

K – di samping memberikan hiburan, media massa dapat menyifarkan gejala buli dalam masyarakat

U – serampang dua mata / sambil menyelam minum air

P – Tanggungjawab sosial media massa, sama ada media elektronik, media internet mahupun media cetak juga amat penting dalam menangani masalah buli

Isi 3

I – Peraturan yang tegas

M – memberikan keinsafan kepada pembuli dan menjadi pengajaran kepada orang ramai – yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan (U)

Ba –hendaklah dilaksanakan tanpa ‘memilih bulu’ dan tegas – haruslah telus dalam mengendalikan kes buli – memberikan kaunseling, memanggil ibu bapa, merotan atau dibuang sekolah

K – dapat membanteras kes buli hingga tahap sifar di samping dapat menjamin keselamatan pelajar di kawasan sekolah untuk menimba ilmu

P – Tindakan pihak sekolah dalam mempamerkan kekuasaannya dengan menetapkan peraturan tegas dapat membendung kemelut ini.

Isi 4

I – kempen kesedaran oleh pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO)

M – menyedarkan masyarakat akan isu buli – memberikan pendedahan ilmu kepada ibu bapa dan guru agar mereka dapat mengenal sama ada anak atau pelajar mereka telah menjadi mangsa buli atau tidak

Ba – menganjurkan program-program kesedaran kepada kelompok-kelompok tertentu seperti ibu bapa, golongan pendidik dan remaja secara berterusan dan bukannya bermusim bagaikan hangat-hangat tahi ayam (U) – contoh kempen kesedaran – ‘Katakan Tak kepada Buli’ atau ‘Benci Buli, Rakyat Maju’

K – memberikan kesedaran secara berterusan – mangsa buli dapat mengambil langkah-langkah yang proaktif dan drastik dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa

U – sediakan payung sebelum hujan

P – kempen kesedaran dapat menyifarkan masalah buli

Penutup

Kesimpulan isi-isi – banyak langkah yang dapat diimplementasikan – sekolah dapat melahirkan modal insan yang berkualiti jika pelajar dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan harmoni.

Cadangan – tidak seharusnya mengharapkan usaha pihak berautoriti sahaja – perlu berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni

Harapan / pujukan – berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia – duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi

.

Theme + Evidence, Opinoin (2)

Novel Captain Nobody : Theme + Evidence, Opinoin (2)

THEME  :  SELF DISCOVERY / OVERCOMING ONE’S FEAR

Newton Newman helps Cecil to get a big bass drum from the top of a dumpster. Cecil calls Captain Nobody to help him get the drum because he cannot get it down by himself. At first, Newt panics to climb the dumpster when he sees how high it is. However, he fights his fear of heights and continues to the top to not disappoint his friend.

Newt overcomes his fear of heights when he rescues Reggie Ratner from a “suicide attempt”. Newt knows that he has to tell Reggie that it is not his fault. It is Chris’ own teammate, Darryl Peeps who knocks Chris unconscious. Since the Big Game, everybody has blamed Reggie for knocking Chris into a coma. Newt gathers his courage to climb although the ladder is rusty and the tower structure is weak. While climbing, his mask gets caught in a nail and rips off. At first he feels vulnerable especially when he looks down. But he gathers his courage and continue with his climb. He then finds out that Reggie climbs the tower to vandalise the water tank. They both end up falling from the tower into a mattress as they descend the rotten ladder. Newt suffers a broken ankle and two broken ribs when Reggie lands on top of him.

OPINION

By overcoming his fear Newt becomes a hero. This admirable quality in him undoubtedly teaches all teenagers to overcome our fear. Newt is a good role model to all teenagers.

Novel  : Tema dan Persoalan

Novel Pelari Muda : Tema dan Persoalan

Tema

Kesedaran atau keinsafan daripada sikap angkuh dan sombong.

.

Persoalan

(a)   Kemasyhuran diri telah menjadikan seseorang itu lupa akan asal usulnya.

(b)   Percintaan sewaktu bersekolah boleh menjejaskan pencapaian akademik.

(c)   Ketegasan seorang ketua dalam mentadbir urus organisasi.

(d)   Pelajaran penting untuk masa depan.

(e)   Disiplin diri menjadi kunci untuk sesuatu kejayaan.

(f)    Komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas dan amanah.

Novel  : Sinopsis Keseluruhan

Novel Pelari Muda : Sinopsis Keseluruhan

Sinopsis

Novel menceritakan kisah Kamarul seorang murid Tingkatan Lima yang berbakat dalam bidang olahraga. Dia telah dipilih mewakili negara dalam Sukan SEA di Brunei. Kejayaannya mewakili dan mengharumkan nama negara telah menjadikannya sombong. Dia telah jarang-jarang berbual dengan rakan-rakan di sekolah. Malah, dia juga telah bersikap dingin terhadap Saridah.

Ekoran perubahan sikapnya itu, Kamarul mula tidak hadir atau datang lewat ke latihan pusat kem olahraga kebangsaan. Dia sombong dan yakin akan latihannya sendiri. Bagaimanapun, Encik Kadir menasihatinya dengan mengatakan bahawa tindakan dia berlatih sendiri melanggar disiplin. Namun begitu, dia tidak menghiraukan nasihat Encik Kadir selaku jurulatihnya. Malah, dia bersikap buruk, iaitu dia bersikap kasar terhadap Encik Kadir dengan melemparkan pingat yang diberikan oleh jurulatihnya itu sebagai pembakar semangat.

Selepas Kamarul melemparkan pingat itu, dia berjalan pulang. Oleh sebab tidak berhati-hati semasa melintas jalan, dia dilanggar oleh sebuah kereta. Dia pengsan dan tidak mengetahui apa-apa yang berlaku seterusnya.

Di hospital, dia dikunjungi oleh Encik Kadir, tetapi ketika itu dia sedang tidur. Encik Kadir bertanyakan khabarnya kepada ibunya. Ibunya memberitahu Encik Kadir bahawa Kamarul hanya mengalami luka dan bengkak urat. Encik Kadir menyatakan bahawa dia akan datang lagi pada waktu petang. Selepas 15 minit Encik Kadir pulang, Kamarul sedar dan mendapati Saridah ada di sisinya. Dia tersenyum memandang Saridah dan Saridah membalas senyumannya itu. Dia mengucapkan terima kasih kepada Saridah kerana sudi mengunjunginya. Saridah memberitahunya bahawa Encik Kadir, Sures, dan Juriah berkirim salam dan kemudiannya menyatakan bahawa Encik Kadir baru sahaja pulang. Hatinya berdetik apabila mengetahui Encik Kadir mengunjunginya. Dia terasa ingin benar keluar cepat-cepat dari hospital dan menemui Encik Kadir.

Di hospital, Kamarul menginsafi sikapnya yang sombong akan kejayaan dan popularitinya sebagai pelari pecut negara. Dia sedar bahawa kejayaannya sebagai pelari yang terkenal adalah atas bimbingan Encik Kadir. Dia turut sedar bahawa dia tidak patut melupakan Cikgu Zainal yang juga banyak berjasa terhadapnya. Oleh itu, dia berazam untuk turun ke padang untuk membuktikan kepada Encik Kadir bahawa dia seorang ahli sukan yang berdisiplin. Sewaktu dia dibenarkan pulang, Encik Kadir telah menjemputnya. Kamarul mohon maaf daripada Encik Kadir.

Selepas keluar dari hospital, Kamarul telah turun berlatih tetapi dia berasa kecewa kerana prestasinya merosot, namun dia diberi semangat oleh Encik Kadir. Sewaktu dia berada di bilik di rumahnya, dia melihat gambar jaguh-jaguh pelari pecut luar negara. Dia melihat catatan masa yang pernah dibuatnya sebelum ini. Dia berazam untuk melakukan sesuatu supaya catatan masanya bertambah baik.

Kamarul dan kawan-kawannya berlepas ke Bangkok. Sebelum itu, dia resah menantikan kehadiran Saridah yang sampai lewat kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Selepas Saridah tiba, Kamarul dan kawan-kawannya berlepas ke Bangkok untuk menyertai Sukan Sea.

Di Bangkok, Kamarul mengikuti latihan yang dikendalikan Encik Kadir. Di sana juga dia telah berjumpa dan berbual-bual dengan De Wega, iaitu pelari Filipina yang diminatinya. Dalam perbualan itu, De Wega menasihatinya agar tidak bersikap sombong, menghormati jurulatih, dan berdisiplin.

Masa pertandingan pun tiba. Dalam pertandingan tersebut, Kamarul telah bersaing dengan De Wega dan rakannya, Sures, di samping pelumba dari Brunei, Indonesia, dan lain-lain. Kamarul menjadi johan bagi acara 100 meter dan 400 meter. Sewaktu dia masuk ke biliknya, Encik Kadir menemuinya dan mengucapkan tahniah. Encik Kadir turut menyampaikan secebis kertas dari tanah air yang mengandungi ucapan tahniah. Ucapan itu datang daripada rakan-rakannya, terutama Saridah. Kamarul ingin mengembalikan pingat yang diberikan oleh Encik Kadir sewaktu dia hendak berlumba tetapi Encik Kadir memintanya agar menyimpan pingat tersebut sebagai kenangan. Encik Kadir memberitahu Kamarul bahawa dia sepatutnya bersara sebagai jurulatih tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan untuk kejohanan Sukan Sea ini. Encik Kadir juga menyatakan bahawa dia telah berjaya membawa Kamarul ke tahap yang membanggakannya. Kamarul tidak menyangka bahawa Encik Kadir akan bersara sebagai jurulatih.

Kejohanan Sukan Sea pun tamat. Sebelum pulang ke tanah air, dia sempat bertemu dengan De Wega dan memberikan hadiah. De Wega juga membalas pemberian Kamarul dengan pingat yang pernah dimenanginya. Setibanya di tanah air, Kamarul telah disambut oleh keluarganya, Saridah, dan kawan-kawannya.

Novel  : Pengajaran

Novel Pelari Muda : Pengajaran

Pengajaran

(a)   Kita hendaklah berani menjalankan tugas supaya organisasi yang dipimpin berjalan dengan sistematik.

(b)   Kita mesti memberikan tumpuan pada pelajaran agar masa depan kita lebih cemerlang.

(c)   Kita seharusnya berdisiplin dalam kehidupan agar tugas yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

(d)   Kita perlu mengingati jasa dan budi baik supaya kita tidak bersikap angkuh dan sombong.

(e)   Kita mesti bersikap teliti dan serius dalam melaksanakan tugas agar tugas yang dilaksanakan memberikan impak yang positif.

(f)    Kita hendaklah segera insaf akan kesilapan supaya kita tidak terus melakukan kesilapan yang merugikan kita.

Novel : Sinopsis Bab 4, 5, 6

Novel Pelari Muda : Sinopsis Bab 4, 5, 6

Bab 4: Sebak di Dada

−   Setelah minum petang, Kamarul memberitahu ibunya bahawa dia hendak berjoging di kawasan sekitar sahaja.

−   Ibunya menyuruhnya tunggu seketika sambil memberikan sepucuk surat kepadanya.

−   Di satu tembok di tepi jalan, Kamarul membaca surat yang ditulis oleh Saridah itu dan berpendapat bahawa ada kejujuran dalam surat Saridah itu.

−   Kamarul teringat akan tindakannya terhadap Saridah selama ini, malah dia juga terbayang wajah Cikgu Zainal dan Encik Kadir.

−   Kamarul memejamkan matanya lalu surat itu dikeronyokkan dan dibaling ke dalam longkang.

−   Hati Kamarul kembali marah dan dia tidak berminat untuk berjoging lantas dia memasuki Stadium Merdeka dan duduk di tempat duduk penonton.

−   Kamarul terbayang akan para penonton yang melambai-lambaikan tangan kepadanya dengan sorakan yang riuh-rendah.

−   Kamarul terbayang lagi bahawa dia sedang bertanding acara 100 meter dan dia berjaya mencatatkan 10.68 saat.

−   Dia menjerit lalu menyedari bahawa tiada penonton di dalam stadium itu tetapi hanya dua orang pemotong rumput di situ.

−   Kamarul berasa geram sambil melangkah ke jalan raya.

−   Kamarul terasa sebak dan sayu sambil menyebut nama Saridah.

.

Bab 5: Jemu Menunggu

−   Saridah bosan menunggu Juriah yang tidak kunjung tiba lantas dia masuk ke biliknya.

−   Perasaan Saridah tidak tenteram dan melayang mengingati Kamarul.

−   Saridah membelek-belek album dan perhatiannya tertumpu pada gambarnya di samping Kamarul kerana gambar itu banyak menyimpan kenangan manis.

−   Saridah teringat kembali akan peristiwa ketika dia mula-mula mengenali Kamarul, iaitu ketika dia mewakili Wilayah Persekutuan dalam Kejohanan MSSM bagi acara 4 X 400 meter.

−   Kamarul mengucapkan tahniah kepadanya serta bertanyakan sebab dia tidak menyertai acara 100 meter lantas Saridah mengatakan bahawa dia telah mencuba tetapi gagal dan menyatakan cukuplah dia meminati pelarinya sahaja.

−   Pertemuan singkat di Stadium Merdeka itu merapatkan hubungan mereka sehingga saling mengunjungi.

−   Kamarul juga sering memberikan kata-kata semangat kepada Saridah.

−   Saridah amat menyenangi Kamarul dan merasakan bahawa dia sudah jatuh cinta.

−   Bagaimanapun, setelah popular Kamarul mula berubah menjadi keras kepala dan sombong.

−   Saridah teringat akan perbualannya dengan Juriah tentang perkahwinan dan hubungannya dengan Kamarul.

−   Saridah terkejut apabila Juriah terdengar suara Juriah memanggilnya.

−   Juriah memuji Saridah dan bertanya sama ada Saridah telah berbaik semula dengan Kamarul.

−   Saridah segera memakai kasutnya dan berjalan sambil diikuti oleh Juriah.

.

Bab 6: Mengapa, Kamarul

−  Kamarul sengaja tiba lewat 15 minit untuk latihan di Pusat Sukan Kampung Pandan.

−  Kamarul ingin menyertai rakan-rakannya tetapi telah dipanggil oleh Encik Kadir yang ingin berjumpa dengannya selepas latihan.

−  Encik Kadir memanggil semua pelatihnya dan memberikan komennya bahawa mereka telah menjalani latihan selama dua minggu.

−  Encik Kadir mengingatkan bahawa mereka ada masa sebulan sahaja untuk meningkatkan kecergasan.

−  Encik Kadir juga menyatakan bahawa dia kurang berpuas hati kerana pencapaian masih rendah dan mahu pelatih melipatgandakan latihan.

−  Encik Kadir mendapati Kamarul masih lembab ketika berlepas dan dia juga terkilan dengan cara larian Kamarul yang seolah-olah bermain-main sehingga dia sangsi akan keupayaan Kamarul di Bangkok nanti.

−  Encik Kadir memberitahu Kamarul bahawa dia belum 100 peratus cergas.

−  Encik Kadir mengarahkan Kamarul berlari keliling padang sebanyak lapan kali sambil rakan-rakannya melakukan latihan sendirian.

−  Encik Kadir menguji Suradi dan Rajip dan mendapati Suradi dapat membuat catatan yang membanggakan.

−  Encik Kadir menguji Sures dan Kamarul dan Sures berjaya menewaskan Kamarul dengan catatan terbaik 10.78 saat.

−  Encik Kadir menamatkan latihan dan berjumpa dengan Kamarul.

−  Encik Kadir menasihati Kamarul tentang sikapnya yang ponteng latihan dan datang lambat serta berlatih sendiri yang melanggar disiplin.

−  Kamarul melawan kata-kata Encik Kadir dan telah meninggalkan Encik Kadir yang menjerit memanggilnya.

Novel  : Sinopsis Bab 10, 11, 12

Novel Pelari Muda : Sinopsis Bab 10, 11, 12

Bab 10: Sepatutnya Berehat

−  Kamarul terlantar di hospital sambil ditemani oleh ibunya yang memicit-micit lengannya.

−  Encik Kadir dan Saridah datang melawat Kamarul di hospital.

−  Mak Jah memberitahu Encik Kadir bahawa Kamarul hanya luka dan bengkak urat sahaja.

−  Encik Kadir pulang dulu dan akan datang pada waktu petang.

−  Selepas 15 minit kemudian, Kamarul sedar dan melihat Saridah berada di sisi katilnya sambil tersenyum.

−  Kamarul mengucapkan terima kasih kepada Saridah kerana mengunjunginya.

−  Saridah memberitahu bahawa Encik Kadir, Sures, dan Juriah berkirim salam dan memaklumkan bahawa Encik Kadir baru sahaja pulang dan akan datang semula pada petang nanti.

−  Saridah bertanya Kamarul tentang pertengkaran mereka namun Kamarul mengatakan bahawa dia telah melupakan perkara itu.

−  Setelah empat hari terlantar di hospital, Doktor Munirah memberitahu Kamarul bahawa dia dibenarkan pulang pada pukul 12:00 tengah hari dan Kamarul begitu gembira.

−  Kemudian, Kamarul teringat akan Encik Kadir, Sures, Saridah, dan kawan-kawannya yang baik hati yang telah datang melawatnya di hospital.

−  Hal itu menyebabkan Kamarul sedar bahawa selama ini dia bersikap sombong dan menjauhkan diri daripada mereka.

−  Dalam hatinya, Kamarul mohon maaf sambil berjanji akan turun ke padang semula dan membuktikan kepada Encik Kadir.

−  Tiba-tiba Encik Kadir datang dan memberitahunya bahawa dia akan membawa Kamarul pulang ke rumah.

−  Pada kesempatan itu, Kamarul mohon maaf dan mengakui kekasarannya terhadap Encik Kadir, namun Encik Kadir memintanya melupakan hal itu dan menyuruh Kamarul mengembalikan keyakinan diri dan berlatih semula.

−  Encik Kadir membawa Kamarul meninggalkan hospital sambil Kamarul dibuai perasaan sedih dan sebak.

.

Bab 11: Harapan Tinggi

−  Kamarul turun berlatih di Pusat Sukan Kampung Pandan dengan resah dan cemas sambil memikirkan tajuk rencana akhbar yang menyatakan bahawa harapan negara kepada Kamarul Baharudin dan Sures Menon untuk lima pingat emas.

−  Apabila Encik Kadir tiba, Kamarul dan Sures diuji bagi acara 100 meter dan ternyata Kamarul tercicir di belakang.

−  Encik Kadir menyatakan bahawa Kamarul masih bimbang akan kecederaannya tetapi menasihatinya agar bersabar.

−  Kamarul diuji lagi bersama-sama dengan Sures dan Rajip, namun Kamarul tercicir di belakang.

−  Kamarul tidak percaya akan keputusan ujian tersebut namun Encik Kadir memberikan kata semangat kepadanya.

−  Kamarul mohon pulang dahulu untuk berehat dan dibenarkan oleh Encik Kadir sambil mengingatkannya agar datang berlatih pagi esok.

−  Di dalam biliknya, Kamarul memandang gambar pelari-pelari luar negara dan Malaysia yang diminatinya dan membuka buku catatannya untuk membandingkan catatan masa yang dibuat semasa latihan pada petang tadi.

−  Kamarul menggelengkan kepala dan bertekad untuk melakukan sesuatu bagi memperbaiki catatan masanya.

.

Bab 12: Selamat Jalan

−  Kamarul berada di lapangan terbang untuk pergi ke Bangkok tetapi disebabkan ada masalah teknikal, penerbangannya yang dijadualkan pada pukul 9:00 pagi ditangguhkan selama dua jam.

−  Kamarul resah kerana Saridah belum muncul di situ walaupun kawan-kawannya ada di situ.

−  Sewaktu pengumuman penerbangan ke Bangkok diumumkan pada pukul 11:00 pagi, Adibah mencuit Kamarul dan menunjukkan Saridah yang datang.

−  Saridah minta maaf kepada Kamarul kerana terlewat akibat kesesakan jalan raya.

−  Kamarul tidak sempat berbual panjang kerana terpaksa mematuhi jadual penerbangan.

−   Kamarul mencapai begnya dan bersalaman dengan kawan-kawannya sambil menerima ucapan semoga dia berjaya.

−   Kamarul berjalan ke kaunter pemeriksaan tiket dan berlalu pergi.

Novel  : Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat

Novel Sejambak Bakti : Latar Masa, Latar Tempat, Latar Masyarakat

Latar

Latar Tempat

(a)   Di Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan.

(b)   Di bilik mesyuarat.

(c)   Di bandar Kangar.

(d)   Di pinggir sawah.

(e)   Di Kampung Serdang.

(f)    Di bilik pengetua.

.

Latar Masa

(a)   Pada waktu pagi.

(b)   Pada waktu petang.

(c)   Pada waktu malam.

.

Latar Masyarakat

(a)   Masyarakat yang gigih berusaha untuk memajukan koperasi sekolah.

(b)   Masyarakat yang terlibat dalam bidang keusahawanan dan penternakan.

(c)   Masyarakat yang masih mengamalkan sikap berdendam dan iri hati akan kejayaan orang lain.

(d)   Masyarakat yang yang taat pada perintah agama.

(e)   Masyarakat yang terlibat dalam bidang pertanian.

(f)    Masyarakat yang terlibat dalam bidang ketenteraan.

Novel  : Plot – Teknik Plot

Novel Sejambak Bakti : Plot – Teknik Plot

(a)   Imbas kembali. Contohnya, Pak Razali menceritakan hubungannya dengan Mak Sopiah di hadapan Cikgu Syamsudin, Encik Ali, dan Pak Zakaria ketika berada di bilik Cikgu Syamsudin.

(b)   Imbas muka. Contohnya, tujuan kursus koperasi tersebut diadakan adalah untuk mendedahkan generasi muda yang bakal memimpin koperasi negara kita tentang kepentingan penubuhan koperasi.

(c)   Pemerian. Contohnya, penulis menyatakan keadaan ketika berlangsungnya Mesyuarat Lembaga Pengarah Koperasi buat kali pertama diadakan pada tahun tersebut.

(d)   Monolog dalaman. Contohnya, Razali mengeluh di dalam hati tentang nasibnya yang begitu malang.

(e)   Kejutan. Contohnya, warga sekolah dikejutkan dengan kejadian kes pencerobohan koperasi sekolah.

(f)    Saspens. Contohnya, pembaca dan pelajar-pelajar tertanya-tanya tentang lembaga berwarna hitam yang kelihatan memanjat pintu pagar dan menuju ke arah kedai koperasi.

Plot – Teknik Plot(Novel Tingkatan 3)

Novel Chot : Plot – Teknik Plot(Novel Tingkatan 3)

Plot – Teknik Plot

  • Dialog. Contohnya, perbualan antara Alias dengan ibunya yang mengadu Chot, iaitu beruk peliharaannya hilang ketika Alias ingin ke sekolah. Ibu Alias menasihatinya agar dia tidak risau akan beruknya itu dan segera pergi ke sekolah sebelum terlewat. Ibunya juga bimbang Som akan menunggunya lama di persimpangan jalan.
  • Monolog. Contohnya, Alias bermonolog sewaktu dia tidak mahu ke sekolah kerana berbelah bahagi untuk memberitahu ibunya tentang telinganya yang sakit selepas peristiwa dia dimarahi oleh Cikgu Sunan. Alias membatalkan niatnya untuk memberitahu perkara itu kerana bimbang ibunya akan mengatakan bahawa dia murid yang nakal dan malas.
  • Imbas kembali. Contohnya, Alias teringat semula tentang pesanan yang disampaikan oleh Som pada tiga hari lalu, iaitu Pak Din menyuruhnya memetik buah kelapa sebanyak yang mungkin.
  • Imbas muka. Contohnya, Som membayangkan perkara yang akan dilakukan oleh rakan-rakan sekelasnya kepada Alias apabila tamatnya waktu rehat selepas peristiwa Alias ditengking oleh Cikgu Sunan.
  • Saspens. Contohnya, peristiwa seekor beruk yang merosakkan kebun pisang Budin telah ditembak mati. Badan Alias menjadi lemah kerana menyangkakan beruk yang ditembak mati itu ialah Chot. Pembaca tertanya-tanya sama ada beruk yang ditembak itu Chot ataupun bukan.
  • Kejutan. Contohnya, peristiwa Alias yang lewat datang ke sekolah kerana mencari beruknya yang hilang. Cikgu Sunan telah menengking Alias kerana berasa marah apabila Alias memberikan alasan bahawa dia mencari beruknya yang hilang hingga dia lewat datang ke sekolah. Pembaca tidak menyangka bahawa Cikgu Sunan akan menengking Alias sehingga menyebabkan Alias terjatuh dan telinganya terkena bucu meja rakannya.

.